Peluru berpandu permukaan ke udara
Peluru berpandu permukaan ke udara

Peluru berpandu permukaan ke udara

Peluru berpandu permukaan ke udara (Bahasa Inggeris: Surface-to-air missile) atau (SAM) merupakan sebuah peluru berpandu yang direka untuk dilancarkan dari darat untuk memusnahkan pesawat. Ia juga kadang kala dipanggil sebagai peluru berpandu darat ke udara. Peluru berpandu ini merupakan sejenis sistem pertahanan udara.SAM yang berpangkalan di darat boleh diatur gerak dengan menggunakan pelantar tetap atau pelancar bergerak, baik dalam bentuk kenderaan beroda mahupun kenderaan berunut. Kenderaan berunut biasanya berperisai dan direka khas untuk membawa SAM. SAM yang lebih besar mungkin dilancarkan dengan menggunakan pelantar tetap yang boleh dibuka dan dipasang semula pada sebarang masa. SAM terkecil boleh dibawa dan dilancarkan oleh seorang tunggal. SAM jenis ini juga dikenali sebagai Sistem Pertahanan Udara Bawaan Bahu (MANPADS). MANPADS buatan Soviet telah dieksport ke seluruh dunia dan masih boleh didapati di bekas negara pelanggannya. Negara-negara lain juga telah membangunkan sistem MANPADS mereka sendiri.SAM juga digunakan dengan meluas di atas kapal. Hampir semua kapal permukaan dapat dipasang dengan SAM. Sebenarnya, SAM merupakan suatu kemestian kapal perang permukaan di barisan hadapan. Beberapa jenis kapal perang dibina khusus untuk peperangan anti-udara, misalnya penjajap kelas Ticonderoga yang dilengkapi dengan sistem tempur Aegis atau penjajap kelas Kirov dengan sistem peluru berpandu S-300PMU Favorite.Sasaran untuk SAM bukan bawaan bahu biasanya dikesan oleh radar carian udara lalu dijejak sebelum/semasa SAM "dikunci" dan kemudian ditembak. Sasaran berpotensi, jika berbentuk pesawat tentera, akan dikenal pasti sebagai kawan atau lawan sebelum diserang.Peluru berpandu permukaan ke udara pada asalnya dibangunkan oleh Jerman Nazi yang amat sangat tertekan oleh penguasaan udara Tentera Pihak Berikat, menjelang akhir Perang Dunia II. Antara peluru berpandu tersebut yang dibangunkannya termasuk Wasserfall. Walau bagaimanapun, tidak adanya sebarang sistem berfungsi yang pernah digunakan oleh Jerman Nazi dalam perang itu.